Tuesday, 27 May 2014

REVIEW BUKU : SEKOLAH BUKAN PENJARA, UNIVERSITI BUKAN KILANG

Karya Zul Fikri Zamir
Dengar sahaja tajuknya, boleh tahu apa isi kandungannya. Dengan tajuk yang menarik, dan isunya yang bersifat 'evergreen', penulis cuba ingin menanamkan kesedaran mengenai pendidikan terhadap generasi akan datang. Isunya memang tertumpu kepada satu perkara, iaitu pendidikan di Malaysia yang dikatakan mempunyai jurang yang amat jauh antara yang berada dan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Penulis cuba untuk menanamkan kesedaran kepada pembaca bahawa isu pendidikan di Malaysia kian meruncing akibat iklim politik yang dilanda ribut kerakusan dan perebutan kuasa. Namun, seperti yang diketengahkan dalam buku ini, kesedaran itu berpunca daripada masyarakat itu sendiri (termasuklah ibu bapa),  bukan semata-mata digalas oleh Kementerian Pendidikan sahaja. Selain itu, yang menarik perhatian saya, penulisan seorang graduan UPSI ini mengetengahkan falsafah baik daripada ilmuan Islam mahupun orientalis Barat. Falsafah ini (mengikut kefahaman saya) menjadi tunjang kepada penghayatan ilmu dan konstruksi peta perjalanan dalam meneroka ilmu dengan lebih mendalam. Seperti yang diperkatakan oleh guru saya, Encik Iqbal, dengan adanya falsafah, kajian terhadap ilmu fizik dan bidang sains lain dapat diperlanjut sehingga akarnya.

Sekiranya anda adalah rakyat yang cakna terhadap isu pendidikan, belilah buku ini. Dengan harga RM 20.00, saya kira informasi ini sedikit sebanyak boleh meluaskan horizon pemikiran rakyat konvensional terhadap isu pendidikan seperti PPSMI, free education, MBMMBI dan sebagainya.

Namun, kebanyakkan ayat yang dipersembahkan oleh penulis umpamanya menjadi buluh runcing buat tapak kaki kerajaan. Banyak kritikan dibuat terhadap dasar-dasar pendidikan yang dirangka, yang saya kira tidak salah pun sekiranya ingin diperdebatkan. Ada juga kritikan buat blok pembangkang mengenai pendidikan percuma, yang saya kira penulis cuba bersikap tidak bias.

Sementelahan itu, isu-isu yang dibincangkan dalam buku ini tidak berfokus kepada satu-satu isu sahaja. Hal ini kerana penulis mengambil beberapa artikel-artikel daripada kolumnis MalaysiaKini (hasil coretan beliau) dan beberapa post daripada blog beliau, yang kemudiannya disatukan menjadi satu kitab yang kecil, sesuai untuk bacaan ringan dan santai. Namun, sekiranya anda kurang memahami isu kandungan dalam buku ini, anda boleh rujuk kepada pemikir-pemikir (usah risau, di Malaysia pun ada banyak golongan seperti ini).

Kesimpulannya, sekiranya anda seorang yang bercita-cita untuk memperbaik sistem pendidikan negara dan ingin membantu rakyat pada masa akan datang, buku ini sesuai sebagai bacaan sampingan semasa berada dalam bas. Setelah membaca buku ini, saya kira saya dapat melihat permasalahan secara lebih meluas yang kian menular dalam sistem pendidikan negara.

Sekian saja.

Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment