Thursday 28 May 2015

ADI PUTRA TERPINGGIR: APAKAH BENAR?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca. Sejak tiga hingga empat hari yang lalu, kita disiarkan berita mengenai Adi Putra, seorang pelajar pintar dalam matematik, khusus dalam aritmetik (pengiraan nombor secara amnya), yang menuduh pihak kerajaan meminggirkan golongan seumpamanya. Pada mulanya saya seperti tidak kisah akan perkara ini kerana berita ini tersiar melalui "news feed" Facebook saya (yang dikarang oleh wartawan MalaysiaKini), namun setelah membaca komen-komen di ruangan komen portal itu, saya tergerak ingin menulis tentang perkara ini.

Sementelahan itu, saya telah menghubungi Pengarah PERMATApintar sendiri melalui laman sosial Facebook dan memohonnya untuk memberikan penjelasan atas faktor tidak ingin melihat pentadbiran PERMATApintar diserang bertubi-tubi tanpa sebarang pertahanan terhadap hujah palsu proksi kiri. Mungkin ini adalah salah satu faktor yang mendorong Professor Noriah Ishak untuk "turun padang" ke halaman seperti Oh! Media dalam membicarakan isu ini. Sebelum meneruskan nukilan ini, syabas saya ingin ucapkan kepada Professor Noriah atas keberaniannya mengupas isu kepada sebahagian rakyat marhaen mengenai pendirian PERMATApintar terhadap isu yang dibangkitkan setelah berkubur bertahun-tahun lalu.

Pengarah PERMATApintar Negara, Professor Dato' Dr. Noriah Mohd Ishak

Adi Putra, mendawa dirinya disisihkan.

Saya ingin berkongsi respons beliau yang dipetik daripada profil Facebook peribadinya mengenai Isu ADI PUTRA dan kerajaan, yang tidak semena-mena dikaitkan dengan PERMATA. Begini responnya:

Kerajaan memang telah menubuhkan program untuk anak-anak genius bermula tahun 2009. Kerajaan juga melalui Bahagian PERMATA di Jabatan Perdana Menteri telah memberi dana kepada UKM untuk menubuhkan sebuah sekolah yang kini diberi taraf Institusi Pendidikan Bantuan Kerajaan untuk menyediakan pendidikan yang sesuai bagi pelajar-pelajar pintar dan berbakat seperti Adi. YABhg Datin Paduka Seti Rosmah Mansor adalah insan yang telah memperjuangkan hak pembelajaran pelajar pintar dan berbakat. Beliau tanpa jemu telah merancang bersama UKM untuk menyediakan program pendidikan yang untuk pelajar seperti Adi.

YABhg Datin Paduka Seri juga adalah orang yang bertanggungjawab meminta disediakan satu program untuk Adi tetapi setelah dibentangkan kepada ibu bapa Adi, bapanya menolak kerana memikirkan Adi perlu memberi tumpuan kepada sekolah sedangkan masa itu Adi sibuk dengan pengurusan syarikatnya. Bermula dari situ, YABhg Datin Paduka Seri Rosmah telah meminta agar pihak UKM dibawah bimbingan Tan Sri Sharifah Hapsah yang menjadi Naib Canselor waktu itu untuk meneroka kemungkinan mencari lebih ramai Adi Putra diseluruh negara. Datin Seri menekankan bahawa dalam proses pencarian tersebut, UKM perlu teliti dan mencari secara komprehensif tanpa meninggalkan mana-mana pelajar.

Maka lahirlah Ujian UKM1 dan UKM 2 yang dibina oleh sekumpulan pakar dari UKM diketui oleh Prof Datuk Dr Noriah Ishak, Prof Datin Dr Siti Rahayah Ariffin, Prof Madya Dr Rosadah Abdul Majid dan Dr Siti Fatimah Mohd. Yassin.

Pihak UKM telah bekerjasama dengan Johns Hopkins University untuk menjalankan program pengayaan untuk pelajar pintar dan berbakat pada tahun 2009. Progam tersebut telah dijalankan dengan jayanya. Seterusnya Kolej PERMATApintar Negara, UKM telah dibina untuk menampung proses pembelajaran pelajar-pelajar pintar dan berbakat tersebut.

Sehingga kini seramai 374 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian mereka diKolej PERMATApintar, dan seramai 240 orang sedang menyambung pengajian mereka di perkngkat Sarjanamuda di universiti terkemuka di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Jepun, Korea, German, Rusia, Jordan dan Mesir.

Sebenarnya kerajaan melalui Bahagian PERMATA di Jabatan Perdana Menteri telah berjaya mengurangkan isu brain drain dengan memberi pendidikan khusus untuk pelajar pintar dan berbakat.

Program PERMATApintar ini bukan program elitis seperti tanggapan orang ramai atau program yang ditujukan khas untuk anak-anak orang kaya. Kemasukan ke program ini ialah mengikut kelayakan. Sehingga kini, didapati hampir setengah dari pelajar yang mendapat tawaran adalah dari mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar. Mereka diterima bukan kerana mereka dari luar bandar, tetapi mereka benar-benar layak.

YABhg Datin Paduka Seri Rosmah adalah sangat instrumental dalam menjayakan program ini bersama UKM. Sekian.

Professor Noriah selaku tunjang kepada program ini telah menceritakan hal sebenarnya agar kita sama-sama dapat menilai cerita kedua-dua belah pihak. Beliau ada menulis beberapa respon di laman ruangan komen Oh! Media terhadap beberapa komen yang berbunyi umpama tin kosong. Ya, saya turut membaca komen-komen tersebut dan ternyata mereka tidak mempunyai isi dalam penyampaian mereka. Namun, saya kira ada hikmahnya semua ini berlaku kerana ini bagaikan lampu hijau kepada Professor Noriah untuk keluar dan menjelaskan perkara sebenar.

Untuk mengetahui komen-komen Professor Noriah, boleh rujuk blog-blog lain. Saya akan sertakan pautan pada akhir post ini.


APA KATA PENULIS

Sesungguhnya Allah S.W.T. telah mewujudkan hikmah dalam isu ini. Keberadaan isu Adi Putra yang diangkat tinggi oleh MalaysiaKini dan proksi mereka telah menyuntik semangat kepada tunggak PERMATApintar untuk menjelaskan posisi mereka dalam hal ini. Saya dapat lihat melalui komen di media sosial bahawa banyak antara kita yang masih merangkak dalam memahami visi dan misi yang ingin dibawa oleh PERMATApintar terhadap golongan cerdik harapan bangsa. Oleh yang demikian, saya menyeru pihak pentadbiran PERMATApintar mengeluarkan pelan baharu dalam mengwar-warkan kepada rakyat marhaen mengenai program ini. Saya cukup tahu bahawa pihak PERMATApintar sudah berusaha sebaiknya untuk memaklumkan informasi kepada rakyat, namun akibat tiada konsistensi, penerangan itu tidak tercapai kepada golongan yang disasarkan.

Merujuk kepada perkara di atas, saya cakna bahawa isu mempromosikan program ini tidak terbeban kepada satu-satu pihak sahaja. Alangkah indahnya jika bekas-bekas pelajar PERMATApintar menulis pengalaman pembelajaran mereka di UKM Bangi dan menyebarkannya mengikut pelbagai saluran. Kepada kita yang hanya rakyat biasa ini, apakah tugas kita? Sekiranya kita tahu program ini dapat mengubah nasib anak bangsa dan negara Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab kita menyebarkan perkara baik kepada yang belum mengetahui.

Tuntasnya, ibu bapa Adi Putra harus memikirkan kembali hal ini. Kegeniusan seseorang itu tidak kekal lama tanpa usaha untuk memeliharanya. Andai kata adik Adi Putra diberikan peluang ke PERMATApintar (sekiranya melepasi UKM1 dan UKM2), inshaAllah masa depan anak kecil ini dapat dibentuk. Ingat wahai ibu dan ayah kepada Adi Putra, jangan bina denai yang merosakkan buat anakmu, sebaliknya tinggalkan khazanah terbaik buatnya.

Kesimpulan saya tidak menyentuh pendirian pihak-pihak berkaitan. Ini adalah pendapat saya.

Sekian, akhirulkalam. Yang baik datang daripada-Nya manakala buruk pula disandarkan kepada kelemahan saya.


 Pautan berkaitan:

https://www.facebook.com/notes/zaid-zikri/isu-adi-putra-dan-permata/10206700117411602

http://www.thehypemedia.com/2015/05/kenapa-sekarang-baru-complaint.html?m=1

Sunday 19 April 2015

SUDAH LAMA MENYEPI, DI MANAKAH KAU?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pertamanya, maaf sekiranya anda tertunggu akan post-post seterusnya daripada blog yang tidak seberapa ini (itu pun kalau ada yang tunggu lah). Sebenarnya, sejak beberapa bulan ini, saya sedang meneruskan pengajian saya dalam bidang Matematik di University of Manchester yang sinonim dengan penemuan "graphene" yang memukau dunia aplikasi fizik. Maka, banyak masa dihabiskan dengan menelaah benda baharu sambil mengenal dunia yang sememangnya asing.

Alhamdullilah lebih kurang 6 bulan berlalu, saya masih berdiri utuh di sini menggalas tanggungjawab seorang pelajar tajaan kerajaan, walaupun sebenarnya banyak kali "mental breakdown" dekat sini.

InshaAllah, dalam masa terdekat ini saya akan meneruskan perjalanan dunia siber dengan beberapa pengalaman saya di Manchester dan beberapa kawasan lain di sekitarnya. Dengan adanya blog ini, saya harap saya dapat tegaskan diri saya untuk menggapai kecemerlangan bersama pembaca-pembaca semua.

Wallahualam.
Bertemu kita dalam alam maya pada lain masa.

Assalamualaikum.

Tuesday 27 May 2014

REVIEW BUKU : SEKOLAH BUKAN PENJARA, UNIVERSITI BUKAN KILANG

Karya Zul Fikri Zamir
Dengar sahaja tajuknya, boleh tahu apa isi kandungannya. Dengan tajuk yang menarik, dan isunya yang bersifat 'evergreen', penulis cuba ingin menanamkan kesedaran mengenai pendidikan terhadap generasi akan datang. Isunya memang tertumpu kepada satu perkara, iaitu pendidikan di Malaysia yang dikatakan mempunyai jurang yang amat jauh antara yang berada dan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Penulis cuba untuk menanamkan kesedaran kepada pembaca bahawa isu pendidikan di Malaysia kian meruncing akibat iklim politik yang dilanda ribut kerakusan dan perebutan kuasa. Namun, seperti yang diketengahkan dalam buku ini, kesedaran itu berpunca daripada masyarakat itu sendiri (termasuklah ibu bapa),  bukan semata-mata digalas oleh Kementerian Pendidikan sahaja. Selain itu, yang menarik perhatian saya, penulisan seorang graduan UPSI ini mengetengahkan falsafah baik daripada ilmuan Islam mahupun orientalis Barat. Falsafah ini (mengikut kefahaman saya) menjadi tunjang kepada penghayatan ilmu dan konstruksi peta perjalanan dalam meneroka ilmu dengan lebih mendalam. Seperti yang diperkatakan oleh guru saya, Encik Iqbal, dengan adanya falsafah, kajian terhadap ilmu fizik dan bidang sains lain dapat diperlanjut sehingga akarnya.

Sekiranya anda adalah rakyat yang cakna terhadap isu pendidikan, belilah buku ini. Dengan harga RM 20.00, saya kira informasi ini sedikit sebanyak boleh meluaskan horizon pemikiran rakyat konvensional terhadap isu pendidikan seperti PPSMI, free education, MBMMBI dan sebagainya.

Namun, kebanyakkan ayat yang dipersembahkan oleh penulis umpamanya menjadi buluh runcing buat tapak kaki kerajaan. Banyak kritikan dibuat terhadap dasar-dasar pendidikan yang dirangka, yang saya kira tidak salah pun sekiranya ingin diperdebatkan. Ada juga kritikan buat blok pembangkang mengenai pendidikan percuma, yang saya kira penulis cuba bersikap tidak bias.

Sementelahan itu, isu-isu yang dibincangkan dalam buku ini tidak berfokus kepada satu-satu isu sahaja. Hal ini kerana penulis mengambil beberapa artikel-artikel daripada kolumnis MalaysiaKini (hasil coretan beliau) dan beberapa post daripada blog beliau, yang kemudiannya disatukan menjadi satu kitab yang kecil, sesuai untuk bacaan ringan dan santai. Namun, sekiranya anda kurang memahami isu kandungan dalam buku ini, anda boleh rujuk kepada pemikir-pemikir (usah risau, di Malaysia pun ada banyak golongan seperti ini).

Kesimpulannya, sekiranya anda seorang yang bercita-cita untuk memperbaik sistem pendidikan negara dan ingin membantu rakyat pada masa akan datang, buku ini sesuai sebagai bacaan sampingan semasa berada dalam bas. Setelah membaca buku ini, saya kira saya dapat melihat permasalahan secara lebih meluas yang kian menular dalam sistem pendidikan negara.

Sekian saja.

Assalamualaikum.

Sunday 18 May 2014

DotA, Facebook dan Belajar

"FIRST BLOOD!"
"DOUBLE KILL!"
"MEGA KILL!"

Sinonim sungguh suara-suara ini sekiranya anda seorang pemain DotA (Defense of the Ancient). Permainan yang bersifat strategi ini sudah berkumandang dalam arena hiburan komputer, rasanya telah mencapai umur sedekad. Saya sudah bermain permainan video ini sejak Darjah 6 (ya, rasanya saya golongan veteran untuk permainan video ini), namun banyak lagi kemahiran yang perlu dikuasai. Banyak orang kata "apa guna kalau main DotA, bukannya boleh pandai!", tetapi ternyata mereka salah (pendapat manusia, manakah mungkin tulen kebenarannya). Berdasarkan pengalaman saya selama ini, DotA telah mengajar saya banyak perkara, termasuklah penggunaan strategi yang berkesan (memerlukan kemahiran berfikir yang pantas), mengasah kebolehan saya berbahasa Inggeris, mengajar saya erti kerjasama, menyedarkan saya bahawa setiap ahli ada peranan tertentu dan sebagainya. Secara keseluruhannya, DotA bagus pada nilai positifnya, namun  kesan negatifnya akan diceritakan sebentar lagi.

******************************************************************************************************************

"TENIT!"
"DWOONNGG!"

Bunyi ini pula sangat mengghairahkan, tambah-tambah sekiranya anda sedang membuat latihan matematik dan bunyi ini singgah sebentar di cuping telinga anda. Keterujaan membuka notifikasi, IM (instant messages) dan sebagainya yang berkaitan Facebook sememangnya menjadi makanan ruji masyarakat kebanyakannya. Tidak dinafikan bahawa saya salah seorang penagih kepada "bunyi-bunyi" itu. Saya yakin, pembaca juga sedang membuka tab lain yang berjudul "Facebook". Saya juga yakin kalau sehari tidak diperiksa akaun Facebook anda, umpama kera kena belacan. Saya juga pasti kebanyakkan urusan harian dalam konteks kerja, sosial, mahupun maklumat yang berinfomatif disampaikan oleh medium yang berwarna biru ini. Saya, secara jujurnya, telah bergelumang dalam laman sosial ini sejak Tingkatan 1 lagi, tatkala pada masa itu Myspace dan Friendster belum lagi dimamah kebosanan. "Muka Buku", secara keseluruhannya, merupakan laman sosial yang bersifat interaktif, di samping menjadi jambatan dalam banyak perkara yang membina fenomena dalam masyarakat.

APA MASALAHNYA???

Sekiranya anda membaca entri ini pada mulanya, mungkin anda akan beranggapan bahawa, "Penulis sedang promote DotA dan Facebookkah??". Secara halusnya, saya ingin membawa anda telusuri sungai penganalisisan tentang permainan video (fenomena anak muda), laman sosial (fenomena masyarakat) dan bagaimana mengagihkan masa untuk belajar. Ya, sudah pasti golongan sasaran post ini ialah anak muda yang masih belajar, sama ada di bangku sekolah, mahupun di menara gading. Setelah menjalani kehidupan di asrama selama dua tahun, ditambah pula dengan pengalaman pahit manis semasa program ASASI, baru saya tahu bahawa masa itu umpama Silly Putty; fleksible mengikut kehendak kita, namun sekiranya salah perkiraan, masa itu akan mengatur kita.

Definisi belajar saya sangat luas kerana bagi saya, selagi nyawa tidak dicabut badan, selagi itulah tanggungjawab mengetahui sesuatu perkara itu adalah WAJIB. Makanya, semua lapisan umur boleh membaca artikel ini.

Secara izharnya, post ini dilhamkan oleh kelalaian diri saya dalam menguruskan masa, dan beberapa pertanyaan junior-junior - selalunya berbunyi begini, "Macam mana abang belajar?" atau "Abang pandai bolehlah, main game macam mana pun boleh skor" dan sebagainya.

*Perlambangan DotA dan Facebook yang telah saya gunakan tadi merujuk kepada spesies mereka masing-masing, yakni permainan video dan laman sosial.*

*Sorry Mark Zuckerberg and Icefrog, I'm using your products as simple examples, no hard feelings okay? hihi*

Saya tidak boleh salahkan seseorang sekiranya dia bukan daripada pelajar-pelajar pintar yang cepat tangkap, namun saya naik angin sekiranya pelajar itu gagal dalam pendidikannya semata-mata kerana malas. YA, MALAS. Itu musuh ketat saya, anda, rakyat Malaysia.

Saya mempunyai pengalaman mengajar beberapa rakan mahupun junior daripada sekolah lain, dan saya dapati bahawa sikap malas dan culas ialah antara penyebab utama kegagalan mereka, hatta mereka cerdik sekalipun. Berdasarkan pengalaman saya sendiri (observasi daripada rakan-rakan), sememangnya kerajinan ialah kunci kejayaan. Pengalaman di sekolah menengah dan Pusat ASASI dahulu telah mengajar saya bahawa semata-mata cepat faham tanpa buat latihan sewajarnya umpama membunuh diri. Tidak bagus untuk bermalasan kerana beranggapan kita boleh mengatasi masalah pembelajaran pada kemudian harinya.

Mesej saya di sini, hatta anda sibuk bagaimanapun dengan dunia maya anda sama ada dalam bentuk permainan video ataupun laman sosial, namun INGAT (penulis juga harus beringat!) bahawa masa itu ibarat pedang, jikalau tidak dipotong, masa yang akan memotong kita. Hendak berDotA, berDotAlah anda. Hendak bersosial di laman sosial, dipersilakan. Namun, (terutamanya adik-adik) pembelajaran jangan diletakkan ke tepi. Tidak terhad kepada dua perkara ini sahaja, jadikan jadual masa anda seragam dan bersifat wasatiyyah untuk semua perkara; tidak lebih dan kurang.

SO WHAT?

Kesimpulannya, buat masa ini, saya boleh menasihati adik-adik, rakan-rakan, dan abang kakak sekalian agar jangan malas dan aturkan masa sebetulnya. Pengalaman mengajar saya bahawa sekiranya rajin itu digabungjalinkan bersama pengurusan masa yang bijak, segala kejayaan boleh ditempa.

JANGAN MALAS.
JANGAN MALAS
JANGAN MALAS.

Saya menulis penyesalan saya dalam post ini. Bagi adik-adik yang belum merasai kegagalan, anggaplah post yang kurang mutunya ini sebagai peringatan ringkas. Kepada yang lain, anggaplah ini usrah ringkas di hadapan skrin laptop atau komputer anda; sekiranya belum terlambat Alhamdulilah, dan sekiranya ya marilah tuntun tangan saya untuk kita bersama-sama berubah. Peringatan yang dituliskan bersifat realistik, kerana saya pernah alaminya. Saya harap post ini memetik api kesedaran, agar kamar hati yang gelap boleh terang kembali.

Maafkan saya andai perkataan yang dicoretkan melukakan hati, sesungguhnya niat saya adalah untuk menyeru diri ini dan pembaca untuk mengubah diri kepada lebih baik.

Wallahualam.
Assalamualaikum.

DotA - Permainan video yang sudah bertapak lebih sedekad.

Laman sosial terbesar di dunia, hub kepada aktiviti alam maya dan perkongsian maklumat.

"Jangan malas dan culas" - Rorlinda Yusof

Bersederhana adalah yang terbaik.


Saturday 17 May 2014

Pintu portal : Bermulanya perjalanan dunia siber

Assalamualaikum.

Akhirnya, setelah sekian lama memendam rasa ingin menulis blog sendiri, akhirnya jari jemari sudah berani mengorak langkah. Tetapi mengapa tiba-tiba? Mungkin kerana diri ini kosong dan memerlukan rakan-rakan alam maya. Mungkin juga kerana tidak sanggup duduk berdiam diri, melihat anak bangsa sendiri dimamah idealogi pihak berkepentingan. Mungkin juga kerana ketidakmatangan ingin menulis di web. Semuanya kemungkinan, namun yang pasti, menulis ialah keghairahanku.

Siapa aku?
Cuma anak muda yang ingin menyahut cabaran. Cabaran, dalam konteks apa?
Sejujurnya, semua perkara yang terhidang atas meja peluang.
Namun, biarlah kita fokus kepada blog yang papa kedana pengisiannya ini.

Mungkin ramai yang tidak kenal Encik Khairul Anwar dan Encik Saiful Bahari Baharom (mereka boleh dikatakan menjana sel-sel neuron saya dalam perhubungan untuk berfikir lebih mendalam). Kerana merekalah, saya membuat blog (salah satu sebabnya).

"TO BE A GOOD LEADER, YOU MUST OWN A BLOG. AND WRITE PASSIONATELY!"

Luahan hati Encik Khairul Anwar mengetuk pintu jiwaku. Ya sememangnya, kita ialah pemimpin; kalau paling kurang pun, pemimpin kepada tubuh yang dipinjamkan Ilahi. Oleh sebab itu, terlintas di sanubari kecilku untuk menaip setiap huruf di blog ini.

"KALAU BERANI, TULIS TERANG-TERANG!"

Komentar Encik Saiful Bahari Baharom memang menekan loceng kesedaran. Selama ini, aku terlindung oleh bayang-bayang orang lain. Sekarang, biarlah aku menulis apa yang terbuku, sama ada mahu atau tidak, biarlah saya menanggung kesannya.

Sekarang ini, fokusku kepada dua perkara - biasiswa MyBrainSc yang akan aku hadir untuk temuduga dan pengisian ilmu sementara menunggu program Ijazah Pertama aku mula. Namun, jangka masa panjangnya, aku ingin menempa nama dalam arena kejayaan. ITU SUDAH PASTI.

Sekian sahaja coretan yang tidak seberapa yang memperihalkan perkara yang kalian tidak hendak tahu pun sebenarnya. Namun, penulisan ini hanya sekadar luahan hati, tidak bertujuan untuk bermusuh.

Assalamualaikum.

"For me, I am driven by two main philosophies: know more today about the world than I knew yesterday and lessen the suffering of others. You'd be surprised how far that gets you." - Neil deGrasse Tyson.