"FIRST BLOOD!"
"DOUBLE KILL!"
"MEGA KILL!"
Sinonim sungguh suara-suara ini sekiranya anda seorang pemain DotA (Defense of the Ancient). Permainan yang bersifat strategi ini sudah berkumandang dalam arena hiburan komputer, rasanya telah mencapai umur sedekad. Saya sudah bermain permainan video ini sejak Darjah 6 (ya, rasanya saya golongan veteran untuk permainan video ini), namun banyak lagi kemahiran yang perlu dikuasai. Banyak orang kata "apa guna kalau main DotA, bukannya boleh pandai!", tetapi ternyata mereka salah (pendapat manusia, manakah mungkin tulen kebenarannya). Berdasarkan pengalaman saya selama ini, DotA telah mengajar saya banyak perkara, termasuklah penggunaan strategi yang berkesan (memerlukan kemahiran berfikir yang pantas), mengasah kebolehan saya berbahasa Inggeris, mengajar saya erti kerjasama, menyedarkan saya bahawa setiap ahli ada peranan tertentu dan sebagainya. Secara keseluruhannya, DotA bagus pada nilai positifnya, namun kesan negatifnya akan diceritakan sebentar lagi.
******************************************************************************************************************
"TENIT!"
"DWOONNGG!"
Bunyi ini pula sangat mengghairahkan, tambah-tambah sekiranya anda sedang membuat latihan matematik dan bunyi ini singgah sebentar di cuping telinga anda. Keterujaan membuka notifikasi, IM (instant messages) dan sebagainya yang berkaitan Facebook sememangnya menjadi makanan ruji masyarakat kebanyakannya. Tidak dinafikan bahawa saya salah seorang penagih kepada "bunyi-bunyi" itu. Saya yakin, pembaca juga sedang membuka tab lain yang berjudul "Facebook". Saya juga yakin kalau sehari tidak diperiksa akaun Facebook anda, umpama kera kena belacan. Saya juga pasti kebanyakkan urusan harian dalam konteks kerja, sosial, mahupun maklumat yang berinfomatif disampaikan oleh medium yang berwarna biru ini. Saya, secara jujurnya, telah bergelumang dalam laman sosial ini sejak Tingkatan 1 lagi, tatkala pada masa itu Myspace dan Friendster belum lagi dimamah kebosanan. "Muka Buku", secara keseluruhannya, merupakan laman sosial yang bersifat interaktif, di samping menjadi jambatan dalam banyak perkara yang membina fenomena dalam masyarakat.
APA MASALAHNYA???
Sekiranya anda membaca entri ini pada mulanya, mungkin anda akan beranggapan bahawa, "Penulis sedang promote DotA dan Facebookkah??". Secara halusnya, saya ingin membawa anda telusuri sungai penganalisisan tentang permainan video (fenomena anak muda), laman sosial (fenomena masyarakat) dan bagaimana mengagihkan masa untuk belajar. Ya, sudah pasti golongan sasaran post ini ialah anak muda yang masih belajar, sama ada di bangku sekolah, mahupun di menara gading. Setelah menjalani kehidupan di asrama selama dua tahun, ditambah pula dengan pengalaman pahit manis semasa program ASASI, baru saya tahu bahawa masa itu umpama Silly Putty; fleksible mengikut kehendak kita, namun sekiranya salah perkiraan, masa itu akan mengatur kita.
Definisi belajar saya sangat luas kerana bagi saya, selagi nyawa tidak dicabut badan, selagi itulah tanggungjawab mengetahui sesuatu perkara itu adalah WAJIB. Makanya, semua lapisan umur boleh membaca artikel ini.
Secara izharnya, post ini dilhamkan oleh kelalaian diri saya dalam menguruskan masa, dan beberapa pertanyaan junior-junior - selalunya berbunyi begini, "Macam mana abang belajar?" atau "Abang pandai bolehlah, main game macam mana pun boleh skor" dan sebagainya.
*Perlambangan DotA dan Facebook yang telah saya gunakan tadi merujuk kepada spesies mereka masing-masing, yakni permainan video dan laman sosial.*
*Sorry Mark Zuckerberg and Icefrog, I'm using your products as simple examples, no hard feelings okay? hihi*
Saya tidak boleh salahkan seseorang sekiranya dia bukan daripada pelajar-pelajar pintar yang cepat tangkap, namun saya naik angin sekiranya pelajar itu gagal dalam pendidikannya semata-mata kerana malas. YA, MALAS. Itu musuh ketat saya, anda, rakyat Malaysia.
Saya mempunyai pengalaman mengajar beberapa rakan mahupun junior daripada sekolah lain, dan saya dapati bahawa sikap malas dan culas ialah antara penyebab utama kegagalan mereka, hatta mereka cerdik sekalipun. Berdasarkan pengalaman saya sendiri (observasi daripada rakan-rakan), sememangnya kerajinan ialah kunci kejayaan. Pengalaman di sekolah menengah dan Pusat ASASI dahulu telah mengajar saya bahawa semata-mata cepat faham tanpa buat latihan sewajarnya umpama membunuh diri. Tidak bagus untuk bermalasan kerana beranggapan kita boleh mengatasi masalah pembelajaran pada kemudian harinya.
Mesej saya di sini, hatta anda sibuk bagaimanapun dengan dunia maya anda sama ada dalam bentuk permainan video ataupun laman sosial, namun INGAT (penulis juga harus beringat!) bahawa masa itu ibarat pedang, jikalau tidak dipotong, masa yang akan memotong kita. Hendak berDotA, berDotAlah anda. Hendak bersosial di laman sosial, dipersilakan. Namun, (terutamanya adik-adik) pembelajaran jangan diletakkan ke tepi. Tidak terhad kepada dua perkara ini sahaja, jadikan jadual masa anda seragam dan bersifat wasatiyyah untuk semua perkara; tidak lebih dan kurang.
SO WHAT?
Kesimpulannya, buat masa ini, saya boleh menasihati adik-adik, rakan-rakan, dan abang kakak sekalian agar jangan malas dan aturkan masa sebetulnya. Pengalaman mengajar saya bahawa sekiranya rajin itu digabungjalinkan bersama pengurusan masa yang bijak, segala kejayaan boleh ditempa.
JANGAN MALAS.
JANGAN MALAS
JANGAN MALAS.
Saya menulis penyesalan saya dalam post ini. Bagi adik-adik yang belum merasai kegagalan, anggaplah post yang kurang mutunya ini sebagai peringatan ringkas. Kepada yang lain, anggaplah ini usrah ringkas di hadapan skrin laptop atau komputer anda; sekiranya belum terlambat Alhamdulilah, dan sekiranya ya marilah tuntun tangan saya untuk kita bersama-sama berubah. Peringatan yang dituliskan bersifat realistik, kerana saya pernah alaminya. Saya harap post ini memetik api kesedaran, agar kamar hati yang gelap boleh terang kembali.
Maafkan saya andai perkataan yang dicoretkan melukakan hati, sesungguhnya niat saya adalah untuk menyeru diri ini dan pembaca untuk mengubah diri kepada lebih baik.
Wallahualam.
Assalamualaikum.
 |
| DotA - Permainan video yang sudah bertapak lebih sedekad. |
 |
| Laman sosial terbesar di dunia, hub kepada aktiviti alam maya dan perkongsian maklumat. |
"
Jangan malas dan culas" - Rorlinda Yusof
Bersederhana adalah yang terbaik.